SERIAN: Kesinambungan pembangunan dan pemerkasaan generasi muda antara perkara yang ditekankan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeru (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Beliau berkata, pengundi khususnya masyarakat Bidayuh perlu membuat pilihan bijak bagi memastikan kawasan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan, sambil menyifatkan pembangkang tidak berpeluang membentuk kerajaan berdasarkan perkembangan penamaan calon hari ini.
“Jadi, saya menasihatkan khususnya pengundi di kawasan Bidayuh supaya terus bersama kerajaan dan GPS, tanpa mengira apa yang diperkatakan pihak lain kerana kita tidak mahu ketinggalan dalam pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Serian, di sini, semalam.
Mengulas mengenai pengundi muda, Sagah berkata, pelaksanaan pendidikan tinggi percuma serta pembangunan sumber manusia berteraskan dasar ekonomi semasa Sarawak mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi berkenaan untuk membina masa depan.
Pada PRU kali ini, Sagah berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Lebanon Ero, seperti diumumkan Pengurus Pilihan Raya DUN Tarat, Abdul Khalid Manap.
Sagah yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak menyandang kerusi berkenaan sejak 1996 selama enam penggal berturut-turut dan memperoleh majoriti 5,008 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 2021.
