KUCHING: Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta prestasi Kerajaan Sarawak.
Kemenangan itu juga membuktikan proses demokrasi berjalan sebagaimana sepatutnya.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu bukan menggambarkan kelemahan demokrasi, sebaliknya menunjukkan rakyat berpuas hati dengan dasar dan hasil pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan.
Menurutnya, rakyat mempunyai kebebasan untuk mencalonkan wakil bagi mencabar kerajaan, namun keputusan untuk tidak mengemukakan calon di 29 kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.
“Kita memberikan kebebasan kepada rakyat untuk mencalonkan seseorang bagi mencabar kerajaan, namun mereka berpendapat kerajaan telah melaksanakan tanggungjawabnya dan menyampaikan hasil pembangunan kepada rakyat Sarawak.
“Sebab itulah mereka tidak mencalonkan sesiapa untuk menentang kita. Ini juga merupakan demokrasi. Mudah-mudahan, kita akan memperoleh kemenangan di kawasan-kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-25 Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, malam tadi.
Abang Johari menjelaskan, mandat yang diberikan rakyat turut membawa tanggungjawab besar kepada semua wakil rakyat untuk memastikan agenda pembangunan negeri diteruskan.
Katanya, perancangan pembangunan menjelang 2030 terus memberi penekanan kepada kesinambungan pentadbiran.
Selain itu katanya, penyediaan pendidikan percuma serta bantuan kepada ibu bapa bagi menjamin masa depan lebih cerah kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau berharap kemenangan tanpa bertanding GPS di tiga kawasan Parlimen iaitu Petra Jaya, Santubong dan Batang Sadong dapat diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Tiga kawasan berkenaan masing-masing diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri serta Rodiyah Sapiee.
Hadir sama Fadillah, Nancy, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Ibrahim Baki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta kenamaan lain.
