Nor-E-Fadzwie mahu teruskan legasi pembangunan Mohd Chee Kadir

KABONG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong, Nor-E-Fadzwie Salleh bertekad meneruskan agenda pembangunan yang telah dirintis bekas ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.

Beliau berkata, kepercayaan diberikan kepimpinan GPS untuk mewakili parti pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 merupakan amanah besar yang akan dipikul dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.

Nor-E-Fadzwie berkata, beliau menerima kepercayaan itu dengan penuh rasa syukur dan rendah hati demi kepentingan seluruh masyarakat di Kabong, Nyabor dan Roban.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana diberikan kepercayaan dan dipilih sebagai calon GPS bagi kerusi DUN N.40 Kabong,” katanya.

Beliau turut menegaskan segala perancangan pembangunan terdahulu akan dijadikan asas untuk memastikan kawasan itu terus bergerak maju.

“Saya bertekad untuk menyambung dan meneruskan perancangan serta usaha pembangunan yang telah dirintis oleh Dato Mohd Chee Kadir,” ujarnya.

Nor-E-Fadzwie turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kepimpinan Parti PBB, jentera GPS serta masyarakat Kabong atas kepercayaan diberikan.

Menurutnya, pembangunan kawasan tidak boleh digalas oleh seseorang pemimpin sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat seluruh lapisan masyarakat.

Beliau mahu ketua masyarakat, golongan belia, wanita, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk bersama-sama memainkan peranan dalam memajukan kawasan berkenaan.

Katanya, pintu beliau sentiasa terbuka untuk menerima pandangan, teguran dan cadangan kerana suara rakyat perlu menjadi keutamaan dalam setiap perancangan.

Sehubungan itu, beliau memohon sokongan serta kepercayaan pengundi agar bersama-sama membina masa depan N.40 Kabong yang lebih maju dan sejahtera.

Terdahulu, Nor-E-Fadzwie diiringi Dato Mohd Chee Kadir ketika proses penamaan calon semalam tanda sokongan terhadap pencalonannya mewakili GPS.

PRN13 menyaksikan beliau berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Belitang Abeng, dalam usaha mendapatkan mandat pertama sebagai wakil rakyat.

“Bersama kita melangkah, bersama kita membangunkan N.40 Kabong,” katanya.