BINTULU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjalankan proses semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi bagi kegunaan hari mengundi pada 4 November ini.
SPR dalam kenyataan medianya berkata, proses ini untuk memastikan peralatan pada hari mengundi lengkap dan dalam keadaan baik.
“Kesemua peralatan ini diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi (KTM) bagi setiap tempat mengundi (saluran). Seramai 446 petugas akan bertugas bagi proses pengundian,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, sebanyak 14 pusat mengundi dan 45 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian. Seramai 22, 731 orang bakal mengundi di PRK DUN ini.
SPR turut menasihatkan pengundi tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
“Pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.
“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada kerani pengundian pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.
Semakan dibuat melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.