KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyaksikan penyerahan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM2,586,875 daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, sumbangan zakat yang diperoleh hasil perniagaan PNB bagi tahun 2023 ini merupakan antara jumlah terbesar yang diterima.
Menurutnya, bagi keseluruhan kutipan, terdapat peningkatan sebanyak tiga hingga lima peratus berbanding tahun lalu yang berjumlah RM141 juta.
“Sehingga November, kutipan kami telah mencapai RM113 juta, dan kami yakin menjelang akhir tahun ini, jumlah tersebut akan meningkat dengan ketara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhir majlis tersebut.
Beliau menambah bahawa peningkatan tersebut adalah hasil kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan orang ramai, terutamanya individu yang memilih untuk membuat potongan gaji.
“Mereka mula memahami nilai spiritual dan keberkatan yang diperoleh dengan membayar zakat melalui potongan gaji.
“Kaedah ini memudahkan dan lebih praktikal untuk mereka,” katanya lagi.
Selain itu tambahnya, sumbangan zakat daripada syarikat-syarikat perniagaan di Sarawak, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC), menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dan konsistensi yang meningkat dalam tempoh lima hingga enam tahun kebelakangan ini.
Turut hadir ialah Pengerusi PNB Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Timbalan Ketua Sektor Operasi TBS Mohammad Yusree Mohd Zain, Pegawai Bahagian Komunikasi TBS Surmiadi Rosli, Presiden PNB Dato’ Abdul Rahman Ahmad dan Timbalan Presiden PNB Dato’ Rizal Rickman Ramli.