KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat delegasi Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kunjungan tersebut bertujuan menjemput Premier Sarawak menghadiri beberapa acara utama sempena sambutan Gawai Dayak tahun ini.
“Matlamat kami untuk menjemput beliau ke rumah terbuka pada 1 Jun di BCKK. Saya juga ingin menjemput orang ramai termasuk rakan-rakan media hadir ke majlis ini,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan tersebut.
Uggah menambah, delegasi turut menjemput Premier Sarawak untuk menghadiri program Niti Daun yang dijadual berlangsung pada 21 Jun depan serta Majlis Makan Malam Gawai yang akan diadakan pada 22 Jun ini.
“Majlis makan malam ini turut menjemput Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak,” tambahnya lagi.
Tahun ini, masyarakat Orang Ulu diberi penghormatan sebagai tuan rumah sambutan Gawai Dayak peringkat negeri dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala dilantik sebagai pengerusi sambutan.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil.
