SMK Spaoh terima sumbangan ADUN Bukit Saban, Ahli Parlimen Betong

SPAOH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM115,000 di sini, semalam.

Sumbangan itu disampaikan pada Majlis Kesyukuran Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia 2024 sekolah terbabit dan pemberian insentif khas kepada pelajar cemerlang peperiksaan itu.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas di majlis itu mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 daripada beliau kepada Tabung Pendidikan SMK Spaoh.

Manakala Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu turut menyumbang sebanyak RM10,000 kepada tabung berkenaan dan juga RM70,000 bagi pemasangan skrin LED baharu di sekolah.

Turut diumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk sistem siaraya baharu di Dewan Sinaran SMK Spaoh.

Uggah juga turut merakamkan penghargaan kepada guru sekolah itu atas dedikasi tinggi melahirkan pelajar cemerlang.