KUCHING: TikTok Challenge Inspirasi Anak Sarawak anjuran bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Koperasi Pro Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) bakal dijadikan acara tahunan, dengan penganjuran dijangka dibuat dalam skala yang lebih besar dan pelbagai.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, inisiatif ini akan menguatkan lagi peranan UKAS untuk bukan sahaja menyiarkan maklumat kerajaan, malah menjadi badan yang membawa suara belia menerusi teknologi yang ada pada hari ini termasuk media sosial.
Malah jelas beliau, kesinambungan daripada TikTok Challenge Inspirasi Anak Sarawak ini, beliau mendedahkan akan mewujudkan anugerah khas Premier Sarawak sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) bermula tahun hadapan.
“Kepada KOBIS dan UKAS, saya mengkehendakkan pertandingan ini diadakan setiap tahun.
“Kita ada menganjurkan SMeC setiap tahun dan pada sebelah malam kita menganjurkan HAWANA peringkat Sarawak dan saya akan mewujudkan satu anugerah khas Premier Sarawak kepada mereka yang aktif memuat naik konten yang positif dari segi motivasinya dan jati diri,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah TikTok Challenge Inspirasi Anak Sarawak, di Pustaka Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kategori khas seperti Kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Universiti ke atas dalam penganjuran seterusnya.
Bagi tujuan itu, Abdullah turut menyumbangkan dana sebanyak RM10,000 kepada UKAS untuk menganjurkan pertandingan seumpama ini sempena Hari Malaysia tahun ini.
“Saya akan mengamanahkan dengan satu lagi dana berjumlah RM10,000. Dana ini akan saya salurkan melalui Kelab Kebajikan Kakitangan UKAS, khusus untuk program seterusnya pada 16 September,” umum beliau.
Pemenang TikTok Challenge Inspirasi Anak Sarawak kali ini dimenangi oleh Awang Razin Awang Baderulhisam yang membawa hadiah wang tunai berjumlah RM2,500.
Sementara itu, Mohd Arash Nazri Mohamad Tinggal dan Georgebrill Bian masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan hadiah bernilai RM1,500 dan RM1,000.
Nur-Az’zyieliaton Saja’eei, Awang Suhaimy Awang Omar, Thong Wee Yin dan Selma Eryshea Hubert masing-masing mendapat hadiah saguhati sebanyak RM500.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengerusi KOBIS Zaiwim Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Sarawak Japri Bujang Masli.
