Seminar tangani isu perubahan iklim 29 Julai, himpunkan pembuat dasar, cendekiawan

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan seminar Kemanusiaan dan Krisis Perubahan Iklim Antarabangsa: Perspektif Multidimensi di sini pada 29 Julai ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, Abang Johari juga dijadual menyampaikan ucaptama ‘Balancing Developmental Needs and Environmental Concerns: Sarawak Experience and The Way Forward’ pada seminar itu.

Seminar yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-70 Majlis Islam Sarawak (MIS) itu akan diadakan pada 29 dan 30 Julai 2025 di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, seminar itu akan menghimpunkan pembuat dasar, saintis, cendekiawan, dan ilmuan untuk membincangkan dimensi manusia dalam perubahan iklim yang sering terlepas pandang tetapi amat penting dalam menangani cabaran alam sekitar global.

“Kita berharap dapat meningkatkan kefahaman mengenai perhubungan antara aktiviti-aktiviti manusia di dunia dengan perubahan cuaca yang menjadi semakin kritikal pada masa ini.

“Pada masa sama untuk melihat pendekatan kita mengikut ajaran Islam, kaedah yang terbaik untuk kita sama-sama menangani masalah, isu yang timbul akibat daripada perubahan cuaca dunia.

“Kita juga mahu membawa masyarakat setempat, masyarakat dunia supaya bersama-sama memahami serta mengatur strategi bagi menangani isu krisis perubahan cuaca,” katanya.

Dr Abdul Rahman mengajak semua pihak yang berminat dan mereka yang prihatin terhadap kemanusiaan dan krisis perubahan iklim untuk menyertai seminar itu dengan penyertaan adalah percuma.