Gawai Dayak cerminkan keharmonian masyarakat majmuk Sarawak

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal komited memperkukuh pembangunan luar bandar, memperluaskan akses pendidikan dan meningkatkan kebajikan rakyat menerusi pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan di seluruh negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian dalam ucapan khas sempena Hari Gawai Dayak 2026 sambil mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada seluruh masyarakat Dayak di Sarawak dan perantauan.

Menurutnya, Hari Gawai bukan sekadar perayaan tradisi, malah menjadi simbol kesyukuran serta platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memelihara warisan budaya masyarakat Dayak.

Uggah berkata, sambutan itu turut mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk Sarawak apabila pelbagai kaum dan agama bersama-sama meraikannya berlandaskan semangat Segulai Sejalai.

Menyentuh pembangunan luar bandar, beliau berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan projek menaik taraf 5,977 kilometer bekas jalan balak bagi meningkatkan jaringan perhubungan dan membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada komuniti.

Dalam bidang pendidikan, beliau menyifatkan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) sebagai langkah bersejarah yang memberi peluang kepada anak-anak Sarawak mengikuti 64 program pengajian di universiti milik negeri tanpa membebankan kewangan keluarga.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan kunci utama untuk memutuskan rantaian kemiskinan serta melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu menyokong agenda pembangunan Sarawak pada masa depan.

Selain itu, Uggah berkata kerajaan GPS terus mengutamakan kebajikan rakyat menerusi penambahbaikan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan mengajak rakyat terus bersatu padu bagi merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah Sarawak yang makmur, inklusif dan lestari.