Pembangunan inklusif kunci kemajuan Sarawak

KUCHING: Komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan dinikmati secara menyeluruh menjadi keutamaan dalam usaha membina negeri maju, mampan dan berdaya saing.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelbagai inisiatif pembangunan akan terus diperkasakan menerusi penyediaan infrastruktur, kemudahan asas, pendidikan serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat di seluruh pelosok negeri.

Menurut beliau, pendekatan pembangunan yang inklusif itu penting bagi memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus kemajuan yang sedang pesat berlaku di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak akan terus komited memastikan pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat termasuk di kawasan luar bandar melalui pembangunan infrastruktur, kemudahan asas, pendidikan serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2026 hari ini.

Beliau berkata, dalam mendepani perubahan landskap dunia dan cabaran ekonomi global yang semakin kompleks, Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi baharu yang berteraskan inovasi, teknologi hijau dan pembangunan modal insan.

Katanya, transformasi tersebut penting bagi memastikan Sarawak kekal berdaya tahan serta mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat, khususnya golongan muda.

“Sarawak kini sedang melangkah ke arah ekonomi baharu yang dipacu oleh inovasi teknologi hijau dan pembangunan modal insan agar generasi kita, terutama sekali generasi muda, terus mempunyai peluang untuk maju dan berjaya di bumi sendiri,” katanya.