Sarawak tekad terus maju, sasar KDNK RM282 bilion menjelang 2030

KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Sarawak 2026-2030 yang menjadi pemacu utama fasa kedua Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

“RMK-13 akan berpaksikan kepada tiga prinsip utama iaitu membaiki membina dan Baharu bagi mempercepatkan transformasi negeri ke arah menjadi wilayah maju, makmur, inklusif dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sambutan Hari Gawai 2026 hari ini.

Abang Johari menjelaskan, era kebergantungan kepada sumber asli semata-mata telah berlalu dan Sarawak kini beralih kepada ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan, inovasi, teknologi serta modal insan berkualiti tinggi.

“Jika sebelum ini pembangunan banyak bergantung kepada hasil minyak, gas dan sumber semula jadi lain, kini kita sedang mengorak langkah ke arah ekonomi yang dipacu oleh kekuatan intelektual.

Abang Johari berkata, pelaburan terhadap pendidikan dan pembangunan bakat anak Sarawak menjadi keutamaan kerajaan negeri, dengan seramai 4,694 pelajar menerima manfaat menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) setakat ini.

“Jumlah penerima dijangka meningkat kepada 10,000 pelajar menjelang penghujung tahun ini sejajar dengan komitmen kerajaan memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada rakyat negeri itu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Sarawak sedang membangunkan loji polisilikon gred semikonduktor pertama di Asia Tenggara di Bintulu dengan sokongan International Finance Corporation (IFC), sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab teknologi masa depan.

Beliau berkata, Sistem Transit Aliran Pantas Autonomi (ART) Sarawak dijadual memulakan operasi pada suku keempat tahun ini, manakala pembangunan nanosatelit berasaskan CubeSat disasarkan untuk dilancarkan menjelang 2030 bagi menyokong pelbagai perkhidmatan termasuk geolokasi masa nyata, pemantauan hutan dan pengurusan bencana.

Selain itu, Kampus Data AI Kuching di Tanjung Embang yang meliputi kawasan seluas kira-kira 405 hektar sedang dibangunkan bagi memperkukuh ekosistem digital negeri dan menarik pelaburan global berkualiti tinggi.

Dalam sektor perindustrian, Abang Johari berkata, Bintulu diiktiraf Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebagai salah satu daripada 36 Kluster Industri Peralihan di dunia, dengan pelancaran rasmi Kluster Industri Peralihan Bintulu (TIC) dijadual pada 11 Jun ini.

Katanya, segala pencapaian dan aspirasi besar negeri hanya dapat direalisasikan melalui perpaduan rakyat, kestabilan politik serta semangat “Segulai Sejalai” yang menjadi tunjang kekuatan Sarawak selama ini.

Beliau sehubungan itu meminta rakyat Sarawak agar terus bersatu hati dan memperbaharui tekad untuk membina negeri yang lebih maju, pintar dan mampan demi kesejahteraan generasi akan datang.