SEOUL: Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi tinggi dan semikonduktor serantau menerusi sesi libat urus strategik bersama Persatuan Industri Semikonduktor Korea (KSIA) yang dihoskan oleh SMD Semiconductor di Seoul.
Sesi tersebut diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama delegasi Sarawak.
Delegasi terdiri daripada wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Sarawak Energy Berhad (SEB), InvestSarawak, SAINS dan RECODA.
Program itu turut mendapat sokongan Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Seoul yang memainkan peranan penting dalam menyelaras pertemuan dengan pemain utama industri semikonduktor Korea Selatan, selain bantuan MATRADE Korea.
Langkah itu dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan perniagaan antara Sarawak dan Republik Korea.
Dalam ucapannya, Awang Tengah berkata, Sarawak kini giat memperluaskan kerjasama antarabangsa bagi mempercepat pembangunan teknologi, menarik pelaburan berkualiti serta meningkatkan penglibatan negeri dalam rantaian nilai semikonduktor global.
“Sarawak sedang melakukan perjalanan transformatif untuk meletakkan dirinya sebagai hab teknologi serantau yang sedang muncul.
“Tumpuan kami bukan sahaja kepada tarikan pelaburan, tetapi juga kepada pembangunan ekosistem, bakat, kerjasama teknologi dan kelestarian industri jangka panjang,” katanya.
Menurutnya, antara bidang yang dikenal pasti termasuk pengurusan kuasa, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), infrastruktur AI, teknologi pengkomputeran termaju melibatkan ekosistem NPU dan GPU, selain teknologi satelit dan orbit rendah bumi (LEO).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Semiconductor, Shariman Jamil memaklumkan, syarikat itu kini memasuki fasa kedua pelan hala tujunya selepas berjaya meletakkan asas pembangunan ekosistem semikonduktor negeri.
Menurutnya, tumpuan kini diberikan kepada pelaksanaan projek, pengembangan ekosistem serta kerjasama strategik dengan pemain industri antarabangsa.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Bahagian Sokongan Industri KSIA, Jeon Jae-min menyambut baik kerjasama tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara industri semikonduktor Korea Selatan dan Sarawak.
