Premier Sarawak ‘ngabang’ ke kediaman Alfred Jabu

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan tradisi ‘ngabang’ ke kediaman mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sempena Hari Gawai Dayak.

Ketibaan beliau sekitar jam 12 tengahari tadi disambut ahli keluarga Alfred Jabu.

Beliau meluangkan masa sekitar satu jam setengah bersama tokoh veteran politik Sarawak itu.

Alfred Jabu memegang jawatan timbalan ketua menteri sejak 1974 sebelum meninggalkan pentas politik pada 2016.

Ketika ditemui media, Alfred Jabu berkata, budaya kunjung-mengunjung semasa musim perayaan seperti Hari Gawai, Hari Raya dan Tahun Baharu Cina membuktikan keikhlasan rakyat Sarawak dalam memupuk perpaduan antara kaum.

Jelasnya, semangat hidup bersama yang diterjemahkan menerusi konsep “Segulai Sejalai” bukan sahaja menjadi amalan rakyat Sarawak, malah kini diterima sebagai contoh perpaduan yang baik di peringkat nasional.

“Kini merupakan masa sesuai, terutama ketika musim perayaan seperti Gawai untuk membawa generasi muda bersama-sama supaya mereka dapat mengenali saudara-mara dan rakan-rakan.

“Kita juga mempunyai rakan-rakan yang datang dari Pulau Pinang dan tempat-tempat lain di Malaysia untuk meraikan Gawai di sini.

“Ini adalah sesuatu yang baik dan kita amat bersyukur,” katanya.

Menyentuh pembangunan negeri, beliau memuji kepimpinan Premier Sarawak yang disifatkan sebagai mesra rakyat, rendah diri dan mempunyai perancangan jangka panjang yang jelas untuk masa depan negeri.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak kini memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar melalui pelbagai inisiatif termasuk penyediaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik negeri serta pembangunan infrastruktur luar bandar.

Hadir sama, anak Premier Sarawak Dayang Norjihan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan menteri dan timbalan menteri kabinet Sarawak, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain.