KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas enggan mengulas lanjut berhubung khabar angin yang mendakwa beliau bakal bersara dari arena politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Sebaliknya, beliau menyerahkan keputusan tersebut sepenuhnya kepada kebijaksanaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selaku Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk menentukan masa depan kepimpinan beliau.
Menurut Uggah, lumrah dalam perjuangan politik menyaksikan pemimpin akan datang dan pergi, selain faktor usia yang menuntut perubahan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak yang berlangsung di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai status kesihatannya, beliau bersyukur kerana berada dalam keadaan yang sangat baik, malah sempat berseloroh mengenai penampilannya yang kelihatan semakin muda.
Sementara itu, mengulas isu tular di media sosial mengenai ibadah korban, Uggah menjelaskan beliau menyumbang sebanyak 16 ekor lembu untuk tujuan tersebut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.
Sumbangan itu bagaimanapun menimbulkan pertikaian daripada pihak tertentu yang mempersoalkan mengapa beliau tidak menyumbangkan haiwan lain seperti khinzir untuk komuniti bukan Islam di kawasan berkenaan.
Menjawab persoalan itu, beliau menegaskan telah menyumbang sekitar 200 hingga 300 ekor babi untuk program lain di kawasannya, namun mengingatkan bahawa ibadah korban mempunyai garis panduan agama yang tersendiri dan berharap semua pihak memahami situasi sebenar di lapangan.
