TYT yakin kepimpinan Premier, Sarawak diurus tadbir dengan baik

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Astana Negeri Sarawak pagi tadi.

Kunjungan tersebut sempena sesi pra-Kabinet Negeri yang menjadi platform penting untuk memaklumkan secara langsung kepada Tun Pehin Sri mengenai hal ehwal pentadbiran negeri bagi pertimbangan dan pandangan beliau.

Pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu diadakan dalam suasana mesra dan penuh muafakat, mencerminkan hubungan erat antara institusi Astana dan cabang eksekutif kerajaan serta komitmen bersama dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negeri.

Tun Dr Wan turut menyatakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Premier Sarawak, negeri ini akan terus diurus tadbir dengan baik serta menggalakkan kerjasama semua pihak demi kesejahteraan dan manfaat rakyat secara menyeluruh.