BINTULU: Perkenan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjadikan kanak-kanak istimewa, Missclyen Roland, 2, sebagai anak angkat menzahirkan rasa terharu ibu bapa kepada anak itu.
Perkara itu dikongsikan ayah Missclyen, Roland Jimba, 48, ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Penan Muslim, di sini, selepas berita itu tular di media sosial Facebook hari ini.
“Saya berasa gembira apabila mendengar khabar bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri ingin menjadikan anak kami ini sebagai anak angkat.
“Namun demikian, perasaan saya juga berbelah bahagi kerana dia (Missclyen) sangat rapat dengan saya. Jadi, bagaimana dia akan membiasakan diri apabila berada di pangkuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah kelak?” luah bapa kepada anak yang menghidap sindrom Werewolf itu.
Berita itu pada awalnya dikongsikan ibu Missclyen, Theresa Gunting, 30, berhubung surat rasmi diterima dari Istana Negara mengenai hasrat Raja Permaisuri Agong.
Dalam surat itu, baginda bertitah akan memberikan perbelanjaan untuk persekolahan Missclyen selain rawatan penyakit kanak-kanak perempuan itu.
“Beta berhasrat untuk mengambil Missclyen Anak Roland sebagai anak angkat. Dalam hubungan ini, beta akan memberikan perbelanjaan melalui tuan sebagai penjaga bagi penggunaan persekolahan Missclyen.
“Selain itu, beta akan menanggung perbelanjaan bagi mengubati penyakit Hipertrichosis atau sindrom Werewolf yang dihidapinya. Beta berharap dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban tuan dan pacal pondok (isteri) dalam menjaga dan membesarkan Missclyen,” titah baginda.