SARATOK: Seramai 39 penghuni Rumah Asun, Tembawai Kapok, Awik, dipindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Serbaguna Taman Seroja Indah di sini selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan berterusan sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, PPS tersebut diaktifkan Pejabat Daerah Saratok sekitar jam 2 petang tadi bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko.
“Setakat ini, seramai 39 mangsa direkodkan, terdiri daripada 14 lelaki dewasa, lapan wanita, tujuh warga emas dan 10 kanak-kanak,” katanya dalam laporan terkini operasi banjir hari ini.
Operasi pemindahan melibatkan kekuatan 43 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pejabat Daerah Saratok, dengan bantuan aset seperti sebuah Perodua Aruz dan sebuah lori.
Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Atoi turut dilaporkan dinaiki air, manakala Jalan Kabo ditenggelami air sedalam dua hingga tiga kaki namun paras air dilapor masih static, katanya.
Mathew memaklumkan, setakat ini tiada insiden kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.
“Fenomena hujan berterusan yang berlaku serentak dengan air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan rendah terjejas. Pasukan penyelamat terus menjalankan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk,” ujarnya.