Bantuan tunai inisiatif STR dilancar di Miri, Kapit

MIRI: Inisiatif program penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di seluruh negara diperluas termasuk di luar bandar negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan dianggarkan lebih 500,000 penerima yang layak tidak mempunyai bank akaun.

“Daripada jumlah tersebut dianggarkan lebih 51,000 penerima dari Sabah dan Sarawak,” katanya pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2024 di sini, hari ini.

Anwar berkata, terdapat 28,994 penerima STR di Sarawak ini bermakna setiap keluarga menerima sumbangan daripada kerajaan.

Namun begitu, kerajaan menyalurkan bantuan tersebut melalui bank akaun, katanya.

“Ada tuai-tuai rumah memberitahu bahawa banyak penduduk di rumah panjang tidak mempunyai bank akaun.

“Maka sebab itu kita melancarkan inisiatif penunaian STR yang membolehkan bantuan tunai disalurkan secara langsung kepada penerima dengan program pertamanya dilancarkan di Miri hari ini dan Kapit pada esok hari,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa komited melaksakan pelbagai projek untuk kesejahteraan rakyat termasuk bina baharu serta naik taraf klinik-klinik daif.