MIRI: Keharmonian dan kemakmuran rakyat yang berbilang kaum dan agama di negeri ini terus menjadi pemangkin kepada kestabilan politik Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan kemelut landskap politik yang berlaku sebelum ini berjaya diselesaikan dengan berkesan melalui penglibatan Sarawak.
“Dalam keadaan yang aman dan makmur dan seterusnya dapatlah kita menumpukan kepada kerja untuk membangunkan seluruh negara.
“Alhamdulillah, saya nampak dalam tempoh dua tahun ini, kita sudah dapat menstabilkan seluruh negara Malaysia,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di sini pada Sabtu.
Abang Johari berkata, hanya dengan kestabilan politik, ia dapat memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif sekali gus menarik kemasukan pelaburan asing.
Malah ini dibuktikan lagi dengan prestasi ekonomi Malaysia yang semakin pulih di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri nampaknya dua tiga hari ini Ringgit Malaysia kita semakin baik. Ini melambangkan bahawa ekonomi kita sudah pulih,” tambahnya.
Majlis yang dirasmikan Dato’ Seri Anwar ini turut menyaksikan peluncuran nombor pendaftaran istimewa siri MADANI, penyampaian cek replika SejaTi MADANI dan penyampaian hadiah cabutan bertuah.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin utama itu melawat sekitar tapak program sambil menyantuni pempamer dan pengunjung.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Yang di-Pertua Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Persekutuan dan Menteri Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Persekutuan dan Timbalan Menteri Sarawak, serta dif-dif kehormat lain.
