Bazar Ramadan: Peniaga perlu patuhi garis panduan KKM, peraturan trafik

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerima permohonan peniaga dalam skala kecil sempena bazar Ramadan pada bulan depan.

Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, peniaga juga mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan peraturan trafik ketika berniaga.

“Aspek kebersihan antara yang ditekankan sambil mengingatkan bahawa premis dalam keadaan bersih dan sampah tidak dibuang merata-rata,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pagi Bebas Kereta Edisi Tahun Baharu Cina anjuran DBKU di Padang Merdeka, di sini hari ini.

Dr Abdul Rahman menjelaskan, peniaga perlu ada vaksinasi tifoid dan mengikut garis panduan yang disediakan oleh pihak perubatan.

Sementara itu, tiga kawasan untuk bazar Ramadan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tahun ini ialah Satok, Sukma Ria dan Semarak.