KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengadakan International Conference on Educational for Holistic Human Development (ICEHHD) 2025 di Islamic Information Centre (IIC) Sarawak, di sini, hari ini.
Lebih 150 peserta persidangan terbabit dari UiTM, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Institut Pendididkan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGTAR), mahasiswa Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Indonesia dan guru serta pelajar maahad tahfiz di sekitar sini.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah berkata aspek keseimbangan antara penguasaan teknologi terkini dengan nilai kemanusiaan menjadi teras dan tunjang utama dalam setiap inisiatif pendidikan universiti berkenaan.
“Dalam keghairahan kita mengejar kemajuan teknologi dan kecanggihan sistem digital, kita seharusnya sentiasa berhati-hati agar pendidikan tidak menjadi terlalu mekanikal atau terpisah daripada nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dibacakan Timbalan Rektor Penyelidikan Dan Jaringan Industri, Profesor Ir. Dr. Juferi Idris yang mewakili beliau ke majlis perasmian persidangan itu.
Hadir sama Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Prof. Dr. S. Salahudin Suyurno, Rektor Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Indonesia, Prof. Dr. Kh Syarif MA dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif / Pengurus Islamic Information Centre (IIC) Tazudin Mohtar.
