Bekerja berpasukan, kakitangan awam bantu jayakan dasar ekonomi baharu

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini supaya sentiasa peka dengan dasar ekonomi baharu kerajaan sekali gus faham undang-undang baharu.

Beliau berkata, undang-undang baharu itu termasuk berkaitan perniagaan karbon, keselamatan siber dan dasar matlamat pembangunan mampan (SDG).

“Perniagaan karbon adalah baharu bagi Sarawak yang mana setiap kakitangan perkhidmatan awam mesti pelajarinya,” katanya pada majlis sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negeri 2024 di sini hari ini.

Bertemakan Driving Relevance, Inspiring Change For Future Sarawak, majlis itu dihadiri lebih 5,000 kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini.

Premier Sarawak menegaskan, matlamat pembangunan mampan bukan setakat untuk mengecapi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga mahu membangunkan kualiti hidup rakyat.

Atas sebab itu, katanya, Kerajaan Sarawak bersedia membelanjakan wang yang banyak untuk membangunkan infrastruktur, menyedia bekalan air dan api.

Pada masa sama katanya, membangunkan sektor pertanian untuk meningkatkan pendapatan petani untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Selain padi, kita mungkin membangunkan tanaman lain menggunakan teknologi terkini supaya petaninya mendapatkan hasil lebih banyak. Jika pendapatan petani meningkat, kualiti hidup mereka akan turut meningkat,” tegas beliau.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohd. Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Persekutuan di Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd. Hassan.