BINTULU: Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak perlu memberi kemenangan dengan majoriti undi besar kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, 4 November ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini perlu dilakukan sekiranya mereka mahu DUN Jepak terus membangun bersama GPS.
“Kalau mereka hendak membangun bersama GPS mereka kena buktikan bahawa mereka adalah penyokong kuat dan DUN Jepak adalah kawasan kuat kubu GPS,” katanya selepas Program BBQ Santai Bersama Belia di Rumah Bajing, di sini.
Fadillah yang juga Naib Yang di-Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, ini hanya dapat dibuktikan sekiranya pengundi DUN Jepak turun beramai-ramai mengundi.
“Kalau tidak turun mengundi, (sekiranya) menang dengan majoriti yang sikit, apatah lagi yang turun mengundi kurang daripada 50 peratus maka sudah pasti melambangkan (kurangnya) kekuatan keutuhan sokongan itu kepada GPS dan konteks negeri Sarawak, apatah lagi sekarang GPS merupakan pemerintahan di Sarawak,” katanya.
Oleh itu, Fadillah berkata, rakyat DUN Jepak perlu bersama kerajaan yang ada sekarang untuk bersama dalam arus pembangunan.
“Mereka tidak ada pilihan, dan pilihannya ialah turun mengundi dan beri undi yang besar kepada GPS,” katanya.