Bomba berjaya padamkan kebakaran hutan Ladang Keresa

BINTULU: Kebakaran hutan sekunder seluas kira-kira enam ekar di Ladang Keresa di sini, berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.59 pagi.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 120 kilometer (km) dari balai.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.27 tengah hari mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan sekunder yang ditumbuhi pokok akasia.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan pam penyembur sehingga api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya.

“Pasukan turut menjalankan pemantauan di sekitar kawasan terlibat bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran berulang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

Operasi melibatkan empat anggota bersama sebuah kenderaan utiliti dengan bantuan dua wakil pihak ladang, termasuk seorang pegawai keselamatan dan polis bantuan.