Brooke Holding bina plantar untuk Shell

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara Brooke Holdings Sdn Bhd (BHSB) dengan Sarawak Shell Berhad di sini hari ini, menyifatkannya satu lagi kejayaan penting dalam industri minyak dan gas di negeri ini.

Beliau berkata, kerjasama erat antara BHSB dengan Sarawak Shell Bhd itu mencerminkan keyakinan syarikat minyak terbabit dengan keupayaan kerja kejuruteraan tempatan.

Kerjasama erat antara BHSB dengan Sarawak Shell Bhd yang terjalin sejak sekian lama banyak membantu mengembangkan pertumbuhan ekonomi negeri ini, katanya.

Naib Presiden Kanan Hiliran Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman mewakili Sarawak Shell Bhd dan Setiausaha Kewangan Negeri merangkap Pengarah BHSB, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar mewakili BHSB menandatangani dokumen perjanjian berkenaan sambil disaksikan Premier Sarawak.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Pengurus Besar Projek dan Kejuruteraan Sarawak Shell Bhd Malaysia, Norziah Othman dan Pengurus Besar BHSB, Lubau Genam.

Perjanjian kontrak itu bagi membolehkan BHSB menjalankan kerja kejuruteraan dan pembinaan (EPC) Plantar Luar Pantai Tetap bagi Projek Kompressi F6 VLAP Sarawak Shell Bhd di luar pantai Barat Daya Bintulu.

Kontrak F6 VLAP Projek Kompressi Sarawak Shell Bhd ditawarkan kepada BHSB pada 5 Julai 2023 bernilai lebih RM400 juta.

Skop kerjanya meliputi kerja kejuruteraan, pengambilan dan pembinaan (EPC) plantar luar pantai tetap, kira-kira 179 kilometer (km) di luar pantai Barat Daya Bintulu pada kedalaman 85 meter (m).

BHSB akan menggunakan limbungannya di kawasan perindustrian Demak Laut di sini, bagi tujuan memasang plantar F6 Projek VLAP itu.