KUCHING: Brunei berhasrat terus memperkukuhkan kerjasama dalam sektor tenaga dengan Sarawak bagi memastikan keselamatan tenaga di rantau ini.
Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam, Dato’ Seri Paduka Awang Mohamad Azmi Mohamad Hanifah berkata, pertemuan dua hala bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi menekankan kepentingan kerjasama erat antara negara jiran dalam memastikan kelangsungan sektor tenaga.
“Sebagai negara jiran, kami berusaha memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga.
“Dalam pertemuan ini, kami akan berbincang lebih lanjut mengenai beberapa perkara penting yang melibatkan kepentingan bersama,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Beliau turut menyatakan kesediaan Brunei untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama dengan Sarawak demi kepentingan bersama.
Ini bagi memastikan keselamatan tenaga di rantau ini sentiasa terjamin, katanya.
Pertemuan ini diadakan susulan jemputan oleh Timbalan Menteri Tenaga & Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta permintaan daripada Energy Information Center (EIC) untuk menghadiri acara rasmi sebagai tetamu.
Ia menjadi platform bagi membincangkan aspek strategik dalam sektor tenaga serta mengukuhkan hubungan antara Brunei dan Sarawak dalam usaha menjamin kestabilan bekalan tenaga di rantau ini.