CENTEXS Lawas akan tarik pelajar Brunei, Sabah

LAWAS: Sebagai pusat latihan kemahiran terunggul, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini akan memain peranan penting dalam memajukan wilayah utara negeri ini, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, justeru Yayasan Sarawak bersetuju menjadikan CENTEXS Lawas sebagai pusat kemahiran utama melatih modal insan dalam membantu memajukan wilayah utara Sarawak.

Oleh kerana Lawas berhampiran Brunei dan Sabah, CENTEXS Lawas juga boleh dibangunkan untuk menarik pelajar dari Brunei dan Lawas menuntut di pusat berkenaan, katanya merasmikan pembukaan CENTEXS Lawas di sini hari ini.

Untuk itu, kerajaan meluluskan permohonan tambahan CENTEXS Lawas sebagai pusat perdagangan serantau sebanyak RM110 juta, katanya.

Beliau menegaskan, CENTEXS akan menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan di utara negeri ini sejajar dengan inisiatif membangunkan ekonomi digital, hidrogen dan tenaga dibaharui.

Menurutnya, penubuhan instutisi latihan seperti CENTEXS bersesuaian dengan kehendak pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di Sarawak dan membuka lambaran baharu kemajuan di Lawas.

“Kita di Sarawak, mempunyai hala tuju dasar membawa Sarawak wilayah maju seperti wilayah Bavaria di Jerman yang memperkasakan teknologi terkini dalam pendidikan mereka,” katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga melaksanakan satu rangkaian dasar yang menyeluruh dalam usaha memperkukuh sektor tenaga serta memastikan kelestarian pembangunan wilayah ini tahun ini.