LAWAS: Penubuhan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini merupakan hadiah bermakna buat rakyat di utara negeri ini dalam usaha meningkatkan kemahiran generasi muda.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana dalam era sekarang, bidang teknologi amat diperlukan sejajar dengan perkembangan global.
“CENTEXS membuka peluang terutama kepada generasi muda menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka dalam teknologi terkini.
“CENTEXS Lawas merupakan hadiah paling bermakna di utara Sarawak dan membuka peluang kepada generasi muda menimba ilmu, meningkatkan kemahiran serta keupayaan mereka,” katanya ketika berucap pada Perasmian Kampus CENTEX Lawas oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.
Awang Tengah menegaskan, generasi muda hari ini perlu dilengkapi dengan kemahiran teknikal untuk membangunkan Sarawak.
Katanya, Sarawak bukan saja meningkatkan industri konvensional, malah turut menumpu kepada ekonomi hijau, teknologi karbon, hidrogen dan sebagainya sejajar dengan perubahan pantas global.
