DALAT: Ahli-ahli muda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diseru untuk mencontohi semangat juang para veteran yang telah membuktikan bahawa perjuangan dalam PBB bukan sekadar mengenai politik, tetapi melibatkan khidmat, tanggungjawab dan kasih terhadap masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak & Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata para veteran juga terus diberi peranan sebagai rakan pemikir, penasihat dan penggerak kepada pelbagai aktiviti di peringkat komuniti, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan serta kesinambungan kepimpinan dalam parti.
“Semangat perjuangan berasaskan kesetiaan, kebersamaan dan keikhlasan yang ditunjukkan menjadi contoh teladan kepada generasi muda dalam meneruskan kesinambungan perjuangan parti,” katanya berucap pada Majlis Jasamu Dikenang dan Veteran PBB N.56 Dalat di sini hari ini.
Menurut Fatimah, majlis yang penuh bermakna itu diadakan bagi menghargai peranan penting para veteran yang menjadi tulang belakang parti dalam pelbagai bentuk perjuangan.
“Ada dalam kalangan mereka yang pernah menjadi penggerak utama semasa pilihan raya, penyokong tegar di lapangan, serta ahli setia yang sentiasa berdiri bersama parti dalam apa jua keadaan.
“Penganjuran majlis tersebut bukan sekadar sebagai simbol penghargaan, tetapi turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tulus atas segala bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para veteran sepanjang perjalanan perjuangan parti,” katanya.
Ujarnya, kekuatan PBB pada hari ini terbina hasil semangat perjuangan, kepercayaan dan kesetiaan generasi terdahulu yang menjadi nadi kepada parti sejak mula ditubuhkan.
Tegas beliau, para veteran sentiasa memainkan peranan penting sebagai tulang belakang kepimpinan di peringkat bahagian dan ranting.
Seramai 87 orang penerima daripada 25 ranting PBB di kawasan Dalat telah diraikan dalam satu majlis itu sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa, sumbangan dan kesetiaan mereka kepada parti sejak sekian lama.