Cuaca kering: Pihak berkuasa bahagian, daerah diarah siap siaga

KUCHING: Sarawak kini bersiap siaga menghadapi peralihan cuaca apabila semua pihak berkuasa di peringkat bahagian dan daerah diarah meningkatkan kesiapsiagaan menjelang musim kemarau yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Arahan itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) susulan pengumuman oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bahawa Monsun Timur Laut dijangka berakhir pada 29 Mac ini.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perubahan musim tersebut menandakan bermulanya tempoh cuaca panas dan kering yang berpotensi memberi kesan kepada beberapa kawasan di negeri ini.

Antara risiko yang dikenal pasti termasuk kebakaran hutan serta gangguan bekalan air, khususnya di kawasan yang pernah terjejas sebelum ini seperti Kuala Baram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) di Hotel Waterfront di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa kini giat menjalankan pemantauan rapi di lokasi berisiko termasuk kawasan tanah gambut.

Selain itu katanya, memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenal pasti titik panas dan mengambil tindakan awal.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran.

“Dengan kerjasama semua pihak ini penting bagi memastikan risiko dapat diminimumkan serta keselamatan awam terus terpelihara,” katanya.