Fadillah sifatkan Belanjawan 2027 sebagai pembangunan dinikmati bersama

KUCHING: Kemajuan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada perubahan nyata yang dapat dirasai rakyat dan menyantuni denyut nadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, melalui Belanjawan 2027, Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada keperluan asas rakyat termasuk menerusi inisiatif Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

“Antaranya ialah peruntukan RM2.5 bilion untuk mengurangkan kehilangan air dan menambah baik bekalan air bersih, RM2.5 bilion bagi 154 projek tebatan banjir untuk melindungi rakyat dan harta benda.

“Manakala, RM60 juta untuk rebat pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga melalui Program NUR MADANI.

“Dan RM352 juta untuk menaik taraf infrastruktur pembetungan demi persekitaran yang lebih bersih dan sihat,” katanya menerusi hantaran Facebook, di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Belanjawan 2027 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fadillah berkata, menerusi Belanjawan 2027 juga Sabah dan Sarawak terus diberi perhatian oleh Kerajaan MADANI.

Katanya, Sabah menerima RM18.7 bilion, manakala Sarawak RM16.2 bilion bagi memperkukuh kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

“Antara usaha utama ialah RM1.5 bilion Pemberian Khas interim di bawah komitmen MA63, hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif, serta RM600 juta bagi bekalan elektrik di Sabah,” ujarnya.

Menurutnya, bagi Kerajaan MADANI, pembangunan bukan sekadar angka dan peruntukan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kemudahan yang lebih baik, kehidupan lebih selesa serta peluang masa depan lebih cerah untuk rakyat.

“Tahniah dan terima kasih YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”.