Generasi muda perlu rebut peluang Belanjawan Sarawak 2025

GEDONG: Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg komited menyokong pendidikan generasi muda melalui pelbagai insentif, termasuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, hala tuju insentif ini bagi memastikan pelajar mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran serta membina kerjaya yang lebih kukuh.

Katanya, antara objektif utama termasuk meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi melalui biasiswa dan bantuan kewangan, memperkasakan kemahiran melalui program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan latihan industri, serta menyokong keusahawanan dengan geran permulaan perniagaan dan program bimbingan.

Beliau menambah bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam dunia digital, inisiatif menyediakan komputer riba dan akses internet percuma juga disediakan, terutamanya untuk pelajar di luar bandar.

“Matlamat utama kerajaan adalah membimbing pelajar lepasan SPM untuk memilih laluan sesuai dengan potensi mereka, sama ada dalam pendidikan tinggi, latihan vokasional, atau keusahawanan, agar mereka dapat menjadi pemimpin berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Graduasi Pelajar SPM 2024 SMK Gedong di sini hari ini.

Rodiyah turut memaklumkan kepada pelajar bahawa dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan dana yang signifikan bagi menyokong pelajar lepasan SPM untuk meneruskan pendidikan atau latihan kemahiran.

Antaranya, katanya insentif khas untuk lepasan SPM yang ingin menceburi bidang keusahawanan dan latihan industri, termasuk geran permulaan perniagaan dan program bimbingan yang dikendalikan oleh agensi-agensi seperti MARA, TEKUN, dan SME Corp.

Malah katanya, bagi mereka yang berminat dalam bidang pertanian moden atau teknologi hijau, pelbagai insentif juga disediakan bagi membantu memulakan projek-projek inovatif yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, khususnya di kawasan luar bandar seperti Gedong.

“Kepada semua graduan hari ini, ambillah peluang ini untuk terus menggali ilmu dan kemahiran yang dapat memacu masa depan anda,” katanya.