SPay Global tingkatkan fungsi, perkenal ciri ‘Interoperable QR’

KUCHING: SPay Global atau Sarawak Pay meningkatkan fungsinya dalam memanfaatkan pengguna dengan melancarkan ciri baharu ‘Interoperable QR’.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha memacu ekonomi negeri ke arah menjadi negeri berpendapatan tinggi dan berstatus maju menjelang tahun 2030 melalui transformasi digital.

“Saya mengumumkan bahawa SPay Global melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan kemudahan ‘Interoperable QR’ di bawah platform DuitNow oleh PayNet.

“Kemudahan jaringan perkhidmatan ini membolehkan pemindahan dana dilakukan 24/7 dengan dana dikreditkan serta-merta kepada penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Celik Kewangan Sarawak di sini, hari ini.

Katanya, SPay Global juga akan dilengkapi dengan kemudahan ‘Cross Border QR’ yang membolehkan pelancong asing dari negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand, China, Korea Selatan dan Kemboja membuat pembayaran hanya dengan mengimbas kod QR DuitNow menggunakan aplikasi perbankan mudah alih dan e-dompet ketika melawat Malaysia.

“Ini adalah inisiatif yang sangat baik untuk ekonomi wilayah Sarawak, terutamanya dalam konteks pembangunan ekonomi di Kepulauan Borneo, lebih-lebih lagi dengan pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan,” tambah beliau.

Kongsinya lagi, kerajaan negeri terus berusaha dalam membantu penduduk luar bandar dengan melancarkan perkhidmatan bank bergerak pada tahun 2021 menerusi perkongsian bersama Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan.

Setakat ini, lapan unit bank bergerak telah menyediakan perkhidmatan kewangan di 24 lokasi luar bandar di seluruh Sarawak.

Untuk rekod, SPay Global mencatatkan transaksi bernilai RM4.2 bilion dengan 770,000 pengguna dan 91,000 peniaga berdaftar sejak ia dilancarkan pada November 2017.

Sementara itu, Karnival Celik Kewangan (KCK) Sarawak 2024 yang menjadi acara kemuncak sambutan Financial Literacy Month, yang bermula pada 15 November akan berakhir esok.

Hadir sama Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Ruji Ubi.