Geran MRP komitmen kerajaan perkukuhkan peranan NGO – Safiee

DARO: Sebanyak 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro menerima geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM205,000.

Majlis penyerahan geran tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad.

Berucap pada majlis tersebut, Safiee menegaskan pemberian geran MRP ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan peranan NGO sebagai rakan strategik dalam pembangunan masyarakat.

“Saya menggesa agar semua NGO terus memainkan peranan aktif di peringkat akar umbi bagi memastikan usaha mereka memberi impak positif terhadap kesejahteraan dan keharmonian penduduk,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar peruntukan yang diterima tidak dijadikan punca perpecahan atau perselisihan faham dalam kalangan ahli NGO berkenaan.

“Saya berharap agar setiap pertubuhan dapat mengamalkan semangat kerjasama, saling menghormati dan menggunakan bantuan ini dengan penuh tanggungjawab demi manfaat bersama,” katanya.