Hanifah bantu mangsa kebakaran Kampung Senau

MUKAH: Mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal menerima sumbangan bantuan berjumlah RM10,000 di Kampung Senau, Oya, Dalat, di sini.

Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib menyalurkan bantuan tersebut kepada mangsa, Mohd Faris Abdullah selepas kediamannya musnah dalam kejadian kebakaran baru-baru ini.

Sehubungan itu, Hanifah berharap sumbangan tersebut membantu memenuhi keperluan harian sementara mangsa.

Beliau turut menggesa orang ramai, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta agar tampil menghulurkan bantuan.

Penyerahan sumbangan bantuan wang tunai serta barangan keperluan asas itu diwakili Almalhakim Norshidi bersama kakitangan Pusat Khidmat P.213 Mukah serta Sukarelawan P.213 Mukah.

Turut hadir, wakil Jawatankuasa Bencana Daerah Dalat Felicia Serai, Ketua Kaum Kampung Senau Mohd Affendi Ketam.