SIMUNJAN: Hutan Simpan Sabal akan dibangun sebagai hab ekopelancongan dan pusat terapi semula jadi bertaraf dunia, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut akan bermula tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.
Menurutnya, pusat berkenaan akan menempatkan pelbagai kemudahan seperti pusat penyelidikan, makmal, ruang konservasi, penginapan serta fasiliti rekreasi dan dijangka siap menjelang 2028.
“Peruntukan RM60 juta sudah diluluskan untuk membangunkan kemudahan di Hutan Simpan Sabal ini,” katanya pada Majlis Peluncuran Hutan Simpan Sabal Sebagai Hab Ekopelancongan, di sini hari ini.
Premier Sarawak menambah, kawasan tersebut berpotensi dijadikan destinasi riadah dan pusat terapi semula jadi bagi masyarakat tempatan serta pelancong luar, memandangkan lokasinya yang strategik antara Kuching dan Sri Aman.
“Kawasan ini sangat sesuai untuk terapi, udara segar, suasana tenang dan kaya dengan kehijauan semula jadi. Inilah kelebihan hutan kita yang asli, bukan hutan buatan,” jelasnya.
Sementara itu, turut diadakan penyampaian Sijil Malaysia Book of Records serta Anugerah Hijau kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik yang menyokong inisiatif penghijauan negeri.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Len Talif Salleh.