KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS 2025) yang bakal berlangsung di sini, menyaksikan pembaharuan dengan menampilkan nama-nama terkemuka dalam menyumbang kepakaran mereka dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital.
Persidangan tersebut akan diadakan mulai 22 dan 23 Oktober ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, penulis buku ‘Our Final Invention: Artificial Intelligence and the End of the Human Era’, James Barrat, adalah antara empat penceramah terkemuka pada persidangan tersebut.
“Tiga lagi penceramah terkemuka global ialah Dr. Ayesha Khanna, Dr. Justin Cohen dan Scott Bales,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Julaihi berkata, Dr. Ayesha adalah pakar AI yang diiktiraf di peringkat global, Dr Justin pakar terkemuka dunia dalam transformasi manusia melalui penggunaan AI dan Scott Bales, seorang futuris serta pakar strategi inovasi, transformasi digital dan kepimpinan.
Premier Sarawak akan merasmikan edisi kelapan IDECS 2025 yang bertemakan AI & Evolusi Hijau: Pertumbuhan, Cabaran dan Daya Tahan Komuniti, katanya.
“Kita menjangkakan kehadiran sekitar 10,000 peserta yang terdiri daripada penceramah, perwakilan dalam dan luar negara, serta golongan muda.
“Malah, pelajar sekolah juga digalakkan hadir sebagai tetamu bagi menyaksikan pelbagai pameran dan pembentangan menarik sepanjang dua hari persidangan,” tambah beliau.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
