KUCHING: Jelajah Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) N8 Satok diteruskan dengan pengagihan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Masjid Darulhana Patingan, di sini, malam ini.
Seramai 15 penerima terdiri daripada golongan asnaf menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai menerusi Program Ihsan Ramadan DUN Satok.
Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Ibrahim Baki dalam ucapan ringkasnya memberitahu, program tersebut merupakan inisiatif tahunan DUN Satok dalam usaha membantu meringankan beban golongan sasar menyambut Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan DUN Satok dalam memastikan kebajikan rakyat diutamakan.
Secara keseluruhan seramai 250 penerima menerima bantuan tersebut. Pada malam ini, 15 penerima asnaf menerima sumbangan.
“Kita berharap dengan adanya sumbangan itu sekurang- kurangnya dapat meringankan beban golongan berkenaan,” katanya.
Majlis malam ini anjuran Pusat Khidmat N8 Satok dengan kerjasama Ranting Kampung No.6 dan Masjid Darulhana Patingan.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Politik Premier Sarawak yang juga Timbalan Cawangan N8 Satok, Abdul Samad Gany, Ketua Wanita Cawangan Satok, Salina Salleh, Ketua Ranting Kampung No.6, Shah Iszhan Isnin, Ketua Wanita Ranting, Rokiah Bujang serta ahli jawatankuasa pengurusan masjid.
