KUCHING: Pertandingan TikTok Shop Live Selling menandakan satu langkah penting oleh Kerajaan Sarawak dalam mempercepatkan proses pendigitalan perniagaan tempatan serta memperluaskan capaian mereka ke pasaran global.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, penganjuran pertandingan ini menjadi bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak memperkukuh ekosistem keusahawanan digital dan membuka peluang baharu kepada usahawan tempatan.
Beliau berkata, pendapatan dari sektor e-dagang ini terus meningkat dari masa ke semasa.
“Jumlah pendapatan meningkat sebanyak 72.2 peratus, daripada RM22.7 bilion pada 2015 kepada RM39.1 bilion (2022).
“Lebih penting lagi, pendapatan e-dagang yang dijana perusahaan Mikro Kecil Dan Sederhana (PMKS) meningkat secara purata sebanyak 8.1 peratus setahun mencapai RM10.7 bilion pada 2022.
“Di bawah Sarawak Digital Economy Blueprint 2030, kerajaan menyasarkan 80 peratus pendigitalan PMKS menjelang akhir dekad ini bagi membuka lebih banyak peluang inovasi dan akses ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Pertandingan TikTok Shop Live Selling sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25) hari ini.
Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi , Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Datuk Abdullah Saidol dan tetamu kenamaan lain.
Dalam pada itu, beliau menyatakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan (MINTRED) merupakan agensi kerajaan pertama di Malaysia yang menjalinkan kerjasama strategik bersama TikTok Malaysia sejak 2023.
Katanya, meskipun bermula dengan hanya 105 penjual dari Sarawak program ini membuktikan keupayaan luar biasa landasan digital apabila nilai jualan kasar melebihi RM1 juta berjaya dicapai, sekali gus membuka laluan bagi produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
“Susulan kejayaan awal tersebut, satu kerjasama selama dua tahun telah dimeterai pada 2024 bagi mempromosikan Sarawak Digital Mall Pesta Lokal di peringkat global.
“Menjelang suku kedua tahun ini, Digital Mall telah merekodkan jualan sebanyak RM11.9 juta memberi manfaat kepada lebih 1,000 peserta dan 350 penjual,”ujarnya.