Isu PPKI Sarawak kritikal, KPM perlu beri perhatian segera – Ahmad Johnie

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian serius terhadap isu Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sarawak yang kini berada pada tahap kritikal.

​Beliau berkata demikian semasa Perbahasan Titah Ucapan Diraja di Dewan Rakyat hari ini, dengan menekankan bahawa kebajikan guru PPKI, Pembantu Pengurusan Murid (PPM) dan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) sering terpinggir.

​Ahmad Johnie mendedahkan bahawa nisbah guru kepada murid di Sarawak kini tidak seimbang, menyebabkan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) hanya dapat dilakukan secara minimum sehingga menjejaskan perkembangan murid.

​Menurutnya, kekurangan PPM juga menjadi beban besar memandangkan mereka adalah tunjang utama dalam mengurus keselamatan dan emosi murid, terutama bagi kategori autisme tahap sederhana dan teruk.

“Masalah kekurangan guru PPKI dan PPM ini berlaku di semua daerah di seluruh Sarawak. Oleh itu, Igan memohon Menteri Pendidikan dengan Kementerian Pendidikan melihat isu kritikal ini dengan serius,” tambahnya.

​Di kawasan Parlimen Igan sendiri katanya, data sehingga Januari 2026 menunjukkan terdapat 251 murid MBPK di 17 kelas bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro, namun permohonan untuk pertambahan kelas dan perjawatan amat sukar diluluskan.

​Beliau memberi contoh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Puan Hajjah Normah yang mempunyai 33 pelajar tetapi hanya dibekalkan dua bilik darjah, menyebabkan kesesakan melampau dengan 15 pelajar bagi satu kelas yang sepatutnya hanya dihuni lima hingga tujuh orang.

​Selain isu fizikal, beliau turut menyenaraikan kekurangan tenaga pengajar di beberapa sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu yang kekurangan empat guru, serta sekolah lain seperti SMK Semop dan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Gesa yang turut menghadapi masalah serupa.

​Tegasnya, jika ketidakseimbangan ini tidak ditangani segera, murid istimewa ini akan terus ketinggalan dalam kemahiran asas dan bimbingan individu, yang jelas bercanggah dengan prinsip keadilan pendidikan.

​Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar KPM menambah segera perjawatan guru dan PPM berdasarkan enrolmen sebenar di lapangan, bukannya sekadar mengikut angka purata nasional yang tidak realistik bagi kawasan pedalaman.

​Ahmad Johnie turut meminta Pengarah Pendidikan Sarawak untuk turun padang bagi meninjau sendiri masalah fasiliti dan peralatan bantuan mengajar yang masih tidak mencukupi di sekolah-sekolah PPKI luar bandar.

​Beliau turut mempersoalkan kriteria pelantikan pentadbir sekolah, sambil memohon agar guru opsyen Pendidikan Khas tidak dinafikan peluang untuk menjawat jawatan Guru Penolong Kanan demi keadilan kerjaya.