KUCHING: Sejumlah 12 agensi kerajaan mengadakan mesyuarat khusus bagi menangani masalah banjir sekitar Matu, Jemoreng dan Passin di Ibu Pejabat Jabatan Hutan Sarawak (JTS) di sini, semalam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Dr Juanda Jaya mempengerusikan mesyuarat tersebut yang turut disertai Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Pejabat Residen Mukah.
Di samping itu, pihak pelesen ladang dan kontraktor jalan turut dipanggil bagi memberi penerangan dan tindakan yang perlu diambil.
Dr Juanda menyarankan agar semua teguran, nasihat dan rekomendasi daripada agensi yang berkaitan akan dijadikan panduan kepada usaha menangani isu banjir di kawasan terbabit.
Beliau juga mahu kesemua pihak mengambil kira undang-undang dan alam sekitar dalam menjalankan pembangunan seperti pembikinan jalan raya dan usaha tanah di kawasan terbabit yang memberi impak kepada penduduk.
