KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM120 juta bagi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada tahun ini, melibatkan pembinaan rumah ibadat serta penyaluran bantuan kepada sekolah-sekolah mubaligh di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM90 juta diperuntukkan bagi pembinaan rumah-rumah ibadat pelbagai agama, manakala RM30 juta lagi disalur kepada sekolah mubaligh.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain UNIFOR 2026 Fasa 4 di sini, hari ini.
Mengulas perkembangan projek UNIFOR, Uggah berkata daripada 309 projek yang diluluskan, sebanyak 285 projek masih dalam fasa pelaksanaan dan belum mengemukakan laporan kemajuan rasmi.
Beliau bagaimanapun, yakin kebanyakan projek tersebut baharu memulakan kerja di lapangan susulan penerimaan peruntukan, dan laporan kemajuan dijangka dikemukakan dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata UNIFOR turut menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi memperkukuh ketelusan tadbir urus serta pelaksanaan projek rumah ibadat.
Menurutnya, kerjasama tersebut bertujuan menilai dan memantau kos sebut harga bagi setiap permohonan projek bagi memastikan kos yang dikemukakan adalah munasabah, berpatutan serta selaras dengan harga pasaran semasa.
