Pameran Raja Kita sempena sambutan Hari Keputeraan Agong dibuka mulai hari ini

BETONG: Pameran Raja Kita sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, peringkat Sarawak Tahun 2026 mula dibuka kepada orang ramai hari ini.

Pameran berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong dengan majlis prapelancaran pameran merangkap disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap sambutan berkenaan, Dato Gerald Rentap Jabu pagi tadi.

Pameran dibuka mulai jam sembilan pagi hingga 11 malam setiap hari, berlangsung sehingga Ahad ini.

Selain menampilkan pelbagai bahan pameran berkaitan institusi Raja Berperlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong, program tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Sarakup Induk Dayak Sarawak cawangan Betong serta demonstrasi pemakaian kain samping.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai juadah tempatan menerusi program Betong Kitchen yang diadakan di khemah berhampiran lokasi pameran.

Penganjuran Pameran Raja Kita bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai institusi Yang di-Pertuan Agong serta memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan rakyat.

Ia dianjurkan bersama oleh Pejabat Residen Bahagian Betong, Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dan Jabatan Muzium Malaysia.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak,Datuk Snowdan Lawan, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas dan Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri Sarawak (UPPANS), Datu Hamdan Sharbini.

Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak, Sabri Said, Pengarah Muzium Diraja, Jabatan Muzium Malaysia, Rohana Husin serta Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohammad Nizam Wang turut hadir.