KABONG: Sebanyak 20 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjaya disiapkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Projek tersebut membabitkan nilai keseluruhan sejumlah RM1.7 juta.
Pelaksanaan projek melibatkan pelbagai kawasan termasuk Kabong, Gerigat, Alit, Emplam, Sessang, Nyabor dan Roban, dengan tumpuan kepada penyediaan serta penambahbaikan kemudahan asas yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata projek itu merangkumi pembinaan jalan kampung, pemasangan lampu solar, gelanggang sukan, pondok rondaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta kemudahan sekolah.
“Pelaksanaan projek RTP ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan infrastruktur, malah turut menyumbang kepada aspek keselamatan dan keselesaan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ringkas Serah Projek Siap RTP ADUN N.40 Kabong, semalam.
Antara projek utama yang berjaya disiapkan ialah pembinaan Jalan Tanah Perkuburan Islam Kampung Gerigat serta pemasangan lampu solar di lima jeti pangkalan di kampung berkenaan bagi meningkatkan kemudahan dan keselamatan penduduk.
Turut dilaksanakan ialah beberapa projek menaik taraf laluan belian kepada laluan konkrit di Kampung Hulu Laut, Hilir Tengah dan kawasan sekitar Kabong, selain pembinaan enam pondok rondaan KRT di Kabong, Sessang, Gerigat, Nyabor, Emplam dan Alit.
Selain itu, lima gelanggang badminton baharu turut dibina di beberapa rumah panjang, manakala kerja naik taraf gelanggang serbaguna di bawah Pejabat Daerah Kecil Roban dan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Paul, Roban juga siap.
