MIRI: Bekalan air di kawasan Miri kini pulih sepenuhnya selepas kerja baik pulih paip utama berdiameter 1,100 milimeter di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu di sini, berjaya diselesaikan.
Ini sekali gus menamatkan gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk, premis perniagaan dan institusi di bandar raya ini sejak beberapa hari lalu.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, hujan lebat ketika operasi pembaikan telah memperlahankan pelaksanaan kerja dan mewujudkan cabaran tambahan dari aspek teknikal serta kejuruteraan.
Sehubungan itu beliau merakamkan penghargaan kepada Sarawak Water yang menerajui usaha pembaikan dan pemulihan bekalan air terbabit.
“Penghargaan juga kepada seluruh masyarakat Miri atas kesabaran, pemahaman dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses pemulihan bekalan air tersebut,”katanya dalam kenyataannya hari ini.
Menurutnya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Sarawak Energy, Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Miri, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Majlis Bandaraya Miri (MCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat sama.
Selain itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hospital Miri, media dan sukarelawan.
