BETONG: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Betong hari ini bagi menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak Tahun 2026.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu serta Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas.
Majlis Kesyukuran dijadual berlangsung di Masjid Jamek Betong pada malam ini dan bakal menghimpunkan pemimpin serta masyarakat dalam suasana penuh kesyukuran dan kebersamaan.
Keesokan harinya, Tun Pehin Sri dijadual merasmikan Majlis Jamuan Teh di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang merupakan antara acara utama sambutan peringkat Sarawak tahun ini.
Kehadiran beliau di Betong menandakan bermulanya program rasmi sempena sambutan berkenaan yang menjadikan bahagian itu sebagai tumpuan sepanjang dua hari penganjurannya.
