BETONG: Rakyat Sarawak disaran terus menjunjung institusi Raja Berperlembagaan demi masa depan Malaysia yang aman dan makmur.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rakyat juga perlu memperkukuhkan perpaduan serta bersama-sama mengekalkan keharmonian demi masa depan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 Tahun 2026 Peringkat Sarawak di Dewan Panglima Rentap, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai
Abang Johari berkata, sebagai negeri yang kaya kepelbagaian budaya dan agama, Sarawak akan terus mempertahankan nilai toleransi, kesederhanaan dan saling menghormati yang sekian ama menjadi tunjang kekuatan kita.
“Inilah nilai yang selari dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong untuk melihat rakyat Malaysia hidup dalam suasana aman, bersatu hati dan penuh kasih sayang,” katanya.
Menurutnya, sebagai Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memainkan peranan penting sebagai lambang perpaduan rakyat dan penaung kepada keutuhan negara.
“Titah nasihat Seri Paduka Baginda sentiasa mencerminkan kebijaksanaan, ketegasan dan keprihatinan mendalam terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Katanya, antara perkara amat dekat di hati Seri Paduka Baginda ialah kesejahteraan rakyat, khususnya dalam mengurangkan beban kos sara hidup, meningkatkan taraf hidup isi rumah serta memastikan akses yang lebih baik kepada
pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
“Seri Paduka Baginda juga amat menitikberatkan perpaduan nasional dan sentiasa mengingatkan agar isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja tidak dimanipulasikan demi kepentingan sempit yang boleh menggugat keharmonian negara,” tambahnya.
Abang Johari berkata, dalam aspek pembangunan negara pula, Seri Paduka Baginda mahukan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Katanya, ini melalui tadbir urus yang telus, pembasmian kemiskinan, pengukuhan infrastruktur digital, keselamatan makanan serta pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
