Kerjasama Yayasan Sarawak,KPTM buka banyak peluang pendidikan

KUCHING: Jalinan Kerjasama strategik di antara Yayasan Sarawak dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) bakal memberi manfaat kepada pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan MARA.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, antaranya menerusi akses kepada pelbagai bantuan dan insentif pendidikan.

Melalui kerjasama tersebut tambahnya, pelajar Sarawak yang mengikuti pengajian di KPTM dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) boleh memohon kemudahan yang disediakan Yayasan Sarawak.

“Antaranya bantuan tiket penerbangan, baucar buku dan komputer riba, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

“Inisiatif ini merupakan langkah penting bagi memastikan pelajar Sarawak di institusi pendidikan MARA turut menikmati kemudahan yang sama seperti pelajar negeri itu di institusi pengajian tinggi lain,” katanya.

Rubiah berkata demikian kepada media selepas majlis Pelancaran Simbolik Kerjasama Yayasan Sarawak dan KPTM Sdn Bhd di ruang legar Plaza Merdeka di sini, hari ini.

Tegas beliau lagi, kerjasama turut memperluaskan lagi akses kepada bantuan pendidikan dan membantu meringankan beban pelajar serta keluarga.

Sementara itu, beliau menambah minat pelajar Sarawak terhadap institusi pendidikan MARA terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, jumlah permohonan daripada pelajar Sarawak kurang daripada 500.

Namun kini, ia telah melonjak kepada lebih 1,800 permohonan pada tahun lalu.

“Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 1,010 permohonan diterima untuk kemasukan ke KPTM.

“Peningkatan mencerminkan keyakinan yang semakin tinggi dalam kalangan pelajar terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh institusi di bawah MARA,” jelasnya.

Beliau turut optimis jumlah pelajar Sarawak yang mengikuti pengajian di KPTM mampu mencecah antara 4,000 hingga 5,000 orang pada masa hadapan.

Di samping itu, terdapat perancangan untuk membawa operasi KPTM ke Sarawak bagi memudahkan akses pendidikan tinggi kepada lebih ramai anak negeri.

Program Jelajah Pendidikan Tinggi (HITS) Sarawak 2026 yang dianjurkan MARA bersama KPTM dan UPTM berjaya menghimpunkan ratusan pelajar sekolah menengah serta lepasan SPM bagi mendapatkan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Pada majlis yang sama, turut diadakan majlis penyampaian bantuan persekolahan berjumlah RM20,000 kepada 200 pelajar dari enam sekolah menengah di Sarawak.

Sumbangan tersebut adalah daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan keluarga dan menggalakkan kecemerlangan pendidikan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Zahari Aziz,
Pengarah MARA Negeri Sarawak,Timelow Jauk dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) Radzuan Razali.

Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak
Beppy Stella Girim, Penolong Pengarah Seksyen Pembayaran Pinjaman Yayasan Sarawak Yantiska Mahmud serta Eksekutif Kanan Bahagian Bantuan Pendidikan Yayasan Pelajaran MARA Nur Fariza Ramli turut hadir.