JKMS salur RM299.79 juta bantu 57,073 penerima seluruh Sarawak

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM299.79 juta kepada 57,073 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak dalam tempoh Januari hingga Disember 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menjelaskan, bagi Bahagian Kuching sahaja, sejumlah RM57.29 juta disalurkan kepada 10,883 penerima.

Langkah itu katanya, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Tambahnya, selain bantuan kebajikan bulanan, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan sosial merangkumi bantuan ibu bersalin, dana simpanan anak kelahiran Sarawak, subsidi pendidikan awal kanak-kanak, sokongan pesakit kronik serta kemudahan khas kepada warga emas melalui Kenyalang Gold Card (KGC).

“Ini merupakan satu perkara yang wajar disyukuri kerana kita berada di sebuah negeri yang kepimpinannya sentiasa memperkenalkan serta melaksanakan dasar yang manfaatnya kembali kepada rakyat,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Bahagian Kuching di sini hari ini.

Katanya, pelbagai geran pemerkasaan ekonomi dan sosial turut disediakan bagi membantu kumpulan sasar meningkatkan taraf hidup serta menjana pendapatan secara mampan.

Mengenai program Majlis Sejambak Kasih, beliau berkata, seramai 2,786 penerima bantuan bulanan kebajikan di Bahagian Kuching menerima sumbangan tersebut sempena sambutan Hari Raya 2026.

Daripada jumlah tersebut, seramai 150 penerima dijemput hadir bagi menerima sumbangan secara langsung yang merangkumi wang tunai berjumlah RM100 berserta hamper barangan makanan bernilai RM80 setiap seorang.

Dalam perkembangan lain, Fatimah berkata Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM1.3 juta bagi memperkukuh operasi empat Pusat Transit Gelandangan (TTG) di seluruh negeri sebagai langkah berterusan menangani isu gelandangan secara lebih holistik.

Ujarnya, peruntukan tersebut melibatkan operasi TTG di Kuching dan Sibu yang kini telah beroperasi, selain dua lagi pusat baharu di Bintulu dan Miri yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya tahun ini.

“Permohonan peruntukan yang kita kemukakan adalah untuk keempat-empat TTG kerana semuanya akan beroperasi. Agihan dibuat mengikut keperluan di sesuatu kawasan serta jumlah gelandangan yang dikenal pasti,” katanya.